ISU GHAZZAH: Apakah Kali Ini Bermusim Lagi
???
Setiap minit
menerima khabar yang cukup menyangat hati mengenai keadaan saudara mara di
Gazzah amat-amat tidak layak untuk hanya sekadar
ditangisi. Sebaliknya tindakan, tindakan dan tindakan mesti di segerakan
secepat mungkin.
Semasa di Konferans IIFSO dan IYG baru-baru
ini di Turki, kita mengambil peluang berbincang dengan banyak
delegasi-delegasi, organisasi dan parti politik dari negara-negara arab
khusunya negara-negara teluk. Apakah penyelesaian yang sebaiknya untuk isu
Gazzah yang semakin melarat yang mereka mampu berperanan. Ada juga baiknya jika
organisasi-organisasi Arab ini berusaha mendekati (mendidik dari dalam)
ahli-ahli politik masa depan dan mengenal pasti Raja-raja Arab yang bakal
menaiki takhta (putera-putera raja, kerabat generasi seterusnya, bukan
bapa-bapa mereka yang masih berteduh dibawah ketiak zionis) supaya mereka
bersedia untuk membawa satu transformasi besar dalam dasar-dasar pemerintahan
mereka semasa mereka berkuasa kelak. Raja-raja sekarang memang sudah di-gam
oleh zionis dan seperti sudah putus harapan, jika bala dan hidayah masih belum
turun, maka ini (usaha yang dinyatakan) mesti dimulakan. Yang penting, mereka
(bakal-bakal penguasa Arab) ini mesti mengiakan apa sahaja kehendak zionis dan
Amerika dalam kedaan semasa kerana dikguatiri jika mereka lantang dari
sekarang, maka perancangan mencantas mereka dari naik kelak akan dimulakan.
Zionis dan Amerika memiliki segala data-data mereka dengan tepat dan rapi.
Walau seramai mana sekalipun rakyat yang berdemonstrasi, lebih berkesan lagi
jika bakal pemimpin-pemimpin Arab bersatu berdemonstrasi di dalam dewan.
Dalam sejarah, Malik Faisal merupakan seorang
anak yang diberi kepercayaan sepenuhnya oleh Malik Abdul Aziz semasa beliau
masih bergelar putera Raja. Hal ini kerana kepatuhan beliau dengan dasar-dasar
pro- Amerika yang didukung oleh Raja Saudi (bapa beliau) ketika itu menyebabkan
Malik Abdul Aziz dan barat percaya beliau juga boleh jadi di'bonekakan.
Walaubagaimanapun, malangnya setelah beliau
naik takhta, beliau membuat kejutan apabila secara jelas bertindak menentang
Zionis dan Amerika dengan menyekat penguasaan minyak oleh mereka. Dasar ini
telah menggeletarkan sumber ekonomi Amerika dan Zionis walau ia hanya mengambil
masa tidak lama. Kawan-kawan dari arab ini tetap optimis, Ya, ia jalan yang
cukup sukar dan perlu makan masa begitu lama. Mana tidaknya, nak didik orang
Melayu yang lemah lembut ni untuk tak makan Mc Donald's pun payah, inikan pula
nak didik generasi Pemerintah Arab yang berhati batu dan bermuka dinding ni.
Namun mereka beri jaminan, ia mampu dilakukan bersama InsyaAllah.
Di Iran, pada tahun 1953, Mohamed Mosaddique
semasa baru sahaja dipilih secara demokratik oleh rakyat untuk memerintah Iran
pada mulanya dilihat juga menjaja Amerika, sehingga beliau dinamakan sebagai
Man of The Year oleh majalah TIMES. Siapa sangka saat pemerintahan beliau
tiba-tiba sahaja beliau menukar dasar dengan menyatakan bahawa
pengimport-pengimport minyak dari luar Iran (khususnya Amerika) perlu dikenakan
cukai yang tinggi dan rakyat Iran sepatutnya lebih layak merasai faedah dan
keuntungan lebih besar dari sumber galian serta khazanah bumi mereka sendiri.
Hal ini telah menyebabkan Amerika terpaksa segera mengantar CIA mereka,
Roosevelt untuk merencanakan sesuatu agar Mohammed dapat digulingkan secepat
mungkin. Akhirnya beliau digulingkan dan Regim Shah kembali semula.
Di Turki sendiri, bagaimana Erdoğan sejak 5-6
tahun kebelakangan ini baru mula lantang dalam isu-isu umat Islam? Mengapa
tidak dari hari pertama beliau duduk di kerusi Perdana Menteri (2003).
Hakikatnya beliau pada mulanya juga menggambarkan dirinya sebagai seorang yang
boleh dijadikan boneka oleh Amerika dan Zionis agar ruang untuk beliau membaik
pulih ekonomi Turki yang kronik pada ketika itu diberikan. Beliau pro-Amerika,
beliau memohon agar Turki menjadi ahli kesatuan Eropah. Yang paling ketara
ialah beliau terpaksa menyokong hasrat Amerika menyerang Iraq pada waktu itu.
Sehinggakan Amerika dan Zionis yakin beliau tidak akan menentang mereka buat
selama-lamanya. Oleh itu, ruang ekonomi dan perdagangan diberikan, sokongan dan
pengaruh juga dari Amerika dan Eropah untuk Turki, tiada boikot untuk Turki.
Namun itu hanyalah semasa Turki belajar merangkak dalam pembangunan. Siapa
sangka Erdoğan juga telah membina perangkap, beliau tahu dasar style Adnan
Menderes, Turgut Özal dan Necmettin Erbakan yang pada awal-awal lagi sudah
jelas dengan pendirian mereka menentang Amerika akan digagalkan sejak dari awal
lagi.
Maka di sinilah beliau mesti ber'munafik'
untuk deal dengan kuasa besar, beliau yakin satu masa nanti Amerika pasti
diajar. Nah! lihatlah sekarang, setelah Erdoğan mula naik tocang, Amerika kini
menyesali segala ruang yang mereka berikan pada Turki selama ini, apa lagi yang
mampu mereka lakukan? Ekonomi Turki kian rancak, ketenteraan kian mantap, hanya
pengaruh dan sokongan negara-negara Arab dan Eropah sahaja yang mereka mampu
tarik semula. Jelaslah, kita tak perlukan pemimpin yang suaranya riuh satu
langit dan bumi (Takbir 3x atau hidup 3x atau hancur 3x) tetapi kita perlu
pemimpin yang tahu buat kerja.
Kami juga berbincang bagaimana
organisasi-organisasi Arab dapat memperkasakan media mereka setanding
stesen-stesen media antarabangsa seperti CNN, BBC, FOX NEWS, majalah-majalah
seperti Economist, Newsweek dan banyak lagi yang memang bertujuan menggoreng
hakikat yang sedang berlaku di bumi yang ditindas samada Palestin atau
negara-negara Afrika dan Amerika Selatan yang lain. Sejak saya berkesempatan
mengikuti dan menyertai konferans, forum dan seminar mengenai dunia umat Islam,
pasti akan ada slot khas membincangkan peranan media. Realitinya penguasaan
umat Islam dalam ilmu IT dan Teknologi mesti diperkukuhkan. Kini media adalah
senjata paling ampuh. Media akan berikan signal siapa yang patut ditembak dan
siapa yang patut dibela, jika terbalik media itu maka sesatlah arahnya. Jangan
melatah cepat sangat nak boikot facebook, twitter, whatsapp sebab ia antara
medium yang berkesan untuk menyebarkan maklumat.
Segala usaha mana-mana pihak boikot produk
Zionis jangan sesekali diperlekeh. Kalau orang di Britain yang kita selalu kata
kafer pun mampu buat atas dasar kemanusiaan sehingga syarikat minuman Zionis
lingkup dalam masa 2 tahun (ini baru yang dilaporkan, yang tidak dilaporkan
pasti lebih banyak lagi), takkan kita yang berketayap, ke masjid hari-hari,
berusrah setiap minggu masih tak mampu tahan perut dari meratah Mc Donald's dan
Coca Cola. Kita mesti ingat, Israel juga tidak bodoh, mereka sudah kira untung
rugi jika barangan mereka diboikot. Hal ini kerana mereka menyedari boikot ini
hanya bermusim. Maka senjata paling kuat yang boleh kita tembak ialah istiqamah
dalam usaha boikot.
Akhir sekali, sudah tiba masanya isu Gazzah
bukan lagi untuk hanya diratapi, tetapi bertindak. Saya menyokong penuh semua
pihak yang cuba memberi penerangan dengan menyebarkan risalah kepada masyarakat
di tengah-tengah jalan (saya berharap dapat menyertai mereka satu hari nanti),
kalau pun untuk menyedarkan umat Islam mengenai Gazzah agak sukar, menyedarkan
masyarakat bukan Islam yang ada hati kemanusiaan juga lebih baik. Abaikan
Khalifah-khalifah tajaan yang akan turun, yang hanya menafsirkan khilafah yang
Nabi S.A.W ungkapkan di dalam hadith secara membuta tuli. Ayuh! Gazzah perlukan
kita sekarang. Ya teruskan doa, doa dan doa. Tapi bertindaklah sekarang juga.



No comments:
Post a Comment